Wednesday, September 1, 2010

Apa Maksud GURU??

Apakah yang terfikir pada diri kita tentang pendidikan pada hari ini? Sejauh manakah pembelajaran yang berlaku di sekolah dari segi kandungan kurikulum dan kaedah pengajaran yang digunakan akan membantu pelajar menerima pendidikn yang sepatutnya. Khalifah Umar Al Khattab telah meminta ibu bapa supaya mendidik anak- anak sesuai dengan zamannya.

Pada hari ini kita telah dapat melihat suasana pendidikan yang berbeza di seluruh dunia sesuai dengan perkembangan masing- masing. Dunia teknologi telah menyebabkan proses mendapatkan maklumat semakin mudah dan cepat tetapi persoalannya bagaimana maklumat yang diperolehi akan merupakan satu pendidikan kepada pelajar. Dengan kata lain, perubahan tingkah laku telah berlaku. Jika sebaliknya, kemusnahan dunia akan menjadi kenyataan lebih cepat daripada sepatutnya. Teknologi akan digunakan untuk menunjukkan kehebatan berbanding membantu mereka yang memerlukan.

Namun begitu, kita tidak boleh menidakkan kepentingan teknologi maklumat ini dalam proses pendidikan di sekolah. Adalah amat janggal untuk kita mendengar seorang guru yang menggunakan keseluruhan masa pengajaran menyampaikan isi pengajaran kerana apa yang hendak disampaikan hanya memerlukan satu ketukan 'google search'. Apa perlunya lagi seorang guru melukis gambar dan rajah untuk dijadikan set induksi jika hanya dengan menaip 'google image' akan terdapat beribu-ribu gambar dalam pelbagai warna yang tidak mungkin dapat dilukis oleh guru sepanjang usia perkhidmatan mereka.

Oleh itu, timbang-timbangkanlah apa peranan guru pada hari ini kerana dunia sekarang tidak lagi menganggap guru sebagai seorang yang berada pada kedudukan yang tinggi maka sudah tentu ketidakupayaan untuk memikirkan bagaimana pengajaran harus berlaku di dalam kelas akan menyebabkan kepincangan yang lebih besar kepada dunia perguruan itu sendiri.

Janganlah sampai pada suatu masa di mana istilah 'guru' hilang daripada kamus manusia kerana peranan mereka telah tiada di dunia ini.

No comments:

Post a Comment